My Add

Monday 6 February 2012

OKU dapat pengiktirafan

MUHAMMAD Darus (duduk) menunjukkan sijil Anugerah Maulidur Rasul yang diterima kepada ahli keluarganya di Putrajaya, semalam.

Oleh HAKIMI ISMAIL

PUTRAJAYA, AHAD, 06  Feb. - Pelajar cacat, Muhammad Hadi Darus, 16, yang memperoleh keputusan cemerlang sembilan A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Menyifatkan dirinya amat bertuah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, Kedah yang menulis menggunakan kaki itu memberitahu, dia amat berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak memberi dorongan untuk terus berjaya meskipun pernah berputus asa kerana kekurangan dirinya.

Menurutnya, ejekan yang diterima semasa kecil ketika memulakan persekolahan telah menjadikannya lebih bersemangat untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

"Masa kecil dulu ada yang ejek saya sebab cacat tetapi ejekan mereka menjadi pembakar semangat untuk berjaya, Alhamdulillah kini saya membuktikannya kepada semua.

"Sekarang tiada lagi yang mengejek dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu sehingga berjaya dalam peperiksaan dan mendapat anugerah amat bermakna hari ini. Saya berjanji akan buat yang terbaik dalam peperiksaan akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun 1433 Hijrah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dengan penganugerahan tersebut, Muhammad Hadi menerima wang tunai RM20,000, sebuah plak, sijil penghargaan serta Kitab Terjemahan Fi Zilal Al-Quran.

Muhammad Hadi yang cacat pada kedua-dua belah tangan sejak kecil memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup dalam PMR 2011.

Beliau yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah berkata, individu lain yang menghadapi situasi sama dengannya tidak perlu merendah diri dan cepat berputus asa kerana setiap kejayaan tidak dinilai melalui paras rupa dan keadaan fizikal seseorang.

"Apa yang penting ialah usaha, jika tiada usaha, orang yang sihat dan cukup lengkap anggota badan juga tidak akan berjaya.

"Janganlah jadikan kecacatan kita sebagai alasan, hari ini saya sudah buktikan kepada semua bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup. Walaupun masih banyak rintangan yang akan dihadapi, saya akan tabah untuk menghadapinya." katanya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment