My Add

Sunday 19 February 2012

Pengusaha IKS pasar produk guna jenama Coop 1M

KUCHING, AHAD, 19 Februari, 2012: Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta koperasi di Sarawak kini mempunyai peluang untuk memasarkan produk mereka di bawah jenama Coop 1M selewat-lewatnya April ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia berikutan sebahagian besar daripada bekalan barangan Coop 1M diperoleh menerusi sumber tempatan termasuk produk IKS kerana harganya yang murah.

"Menerusi Coop 1M ini, ia bukan sahaja dapat membantu IKS tempatan memasarkan produk mereka, malah harga barangan Coop 1M di Sarawak juga mungkin lebih rendah kerana tiada kos pengangkutan berbanding kalau kita import dari Semenanjung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pengedaran (DC) Koperasi Nilam Kuching Berhad dan melancarkan produk Coop 1M bagi Zon Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi mengekalkan kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap produk Coop 1M, koperasi serta pengusaha IKS tempatan diseru supaya meningkatkan mutu keluaran.

"Satu jawatankuasa diwujudkan untuk membuat pemantauan dari segi mutu dan harga barangan yang dijual kerana kementerian tidak akan berkompromi terhadap kualiti produk semata-mata kerana ia murah," katanya.

Ismail Sabri juga berkata, Coop 1M kini menawarkan sebanyak 37 jenis barangan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 65 pada penghujung Februari sebelum ditambah kepada 100 jenis menjelang Mac nanti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment