My Add

Sunday 19 February 2012

Sistem kutipan cukai negara bantu kurangkan defisit

BUTTERWORTH, AHAD, 19 Februari, 2012: Keberkesanan sistem kutipan cukai negara banyak membantu dalam mengurangkan defisit fiskal negara pada 2011 iaitu daripada 5.6 peratus yang dicatatkan 2010, turun kepada 5.0 peratus tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, penurunan itu melebihi jangkaan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2011 iaitu sebanyak 5.4 peratus.

Beliau berkata, penurunan defisit fiskal negara itu banyak dibantu oleh hasil cukai kerajaan yang peroleh untuk tahun lepas yang naik sebanyak RM20 bilion.

"Menurut rekod, kebanyakan kenaikan jumlah kutipan cukai pendapatan adalah daripada cukai pendapatan individu dan ini menunjukkan sistem kutipan cukai pendapatan negara amat berkesan," katanya selepas menghadiri majlis sarapan pagi dan ramah mesra penduduk Labuh Banting di Permatang Berangan di sini hari ini.

Beliau berkata, angka penurunan defisit fiskal negara menunjukkan perbelanjaan kerajaan bagi mengurangkan jumlah defisit itu berhasil dan kerajaan akan meneruskan dengan perbelanjaan yang berhemah.

"Lonjakkan jumlah kutipan cukai pendapatan individu yang dicatatkan tahun lepas telah membuktikan bahawa rakyat sudah mula berkeupayaan untuk membayar cukai," katanya.

Mengenai perkembangan ekonomi negara, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, walaupun keadaan ekonomi di Eropah semakin getir, ekonomi Malaysia terus berkembang dan dibuktikan menerusi pendapatan per kapita yang meningkat dengan ketara sejak 1970. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment