My Add

Saturday 18 February 2012

Penulis alam maya perlu jauhi sifat keji - Fathul Bari

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Penulis-penulis di alam maya atau Internet diminta menjauhi sifat keji di dalam penulisan mereka seperti mencaci, memfitnah, menghina dan menyebarkan berita palsu.

Pengerusi Jawatakuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (iLMU), Fathul Bari Mat Jahaya, berkata, sifat-sifat itu jika diamalkan bukan sahaja boleh menimbulkan kebencian manusia, malah ia boleh mendatangkan kemurkaan Allah.

Beliau berkata, sifat sebegitu juga boleh menimbulkan permusuhan serta perpecahan dalam kalangan umat sekiranya ia dibiarkan berlarutan.

"Penulis maya juga mempunyai tanggungjawab dalam menyebarkan berita kepada masyarakat. Mereka tidak boleh memasukkan berita hanya bertujuan memfitnah dan menghina orang," katanya ketika membincangkan isu bertajuk Kesepaduan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Dalam Menyelamatkan Masalah Umat.

Fathul Bari berkata, firman Allah di dalam al-Quran ada menyentuh secara jelas mengenai isu tersebut seperti yang disebut di dalam ayat keenam dalam surah al-Hujurat.

"Sebaik-baiknya penulis maya menjadikan wadah mereka sebagai pemangkin perpaduan umat dan bukannya agen perpecahan umat " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan kecil dalam soal ibadat hendaklah diuruskan dengan baik supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan umat.

"Semua pihak perlu berlapang dada dalam soal ini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini dalam masyarakat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment