My Add

Wednesday 15 February 2012

Perjuangan pakatan pembangkang tidak sehaluan: Muhyiddin

POKOK SENA, SELASA, 14 Februari, 2012: Desakan Pas agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel, menjelaskan bahawa kedua- dua parti tersebut tidak sehaluan dalam pandangan dan perjuangan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti-parti di bawah pakatan pembangkang iaitu Pas, DAP dan PKR walaupun bergabung, namun sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza dan tidak sehaluan.

“Kenyataan Nik Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mencabar Anwar itu sesuatu yang sangat serius menjelaskan bahawa terdapat pertelingkahan antara mereka. Lebih banyak Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Nik Aziz dan Anwar bercakap, lebih ketara perbezaan dan pemikiran mereka.

“Rakyat harus ambil iktibar daripada perkara ini supaya mereka faham siapa sebenarnya pakatan pembangkang. Ini satu iktibar atau peringatan kepada rakyat tentang siapa mereka, perjuangan mereka, ideologi mereka dan perjuangan pemimpin dalam pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama Rakyat di Padang Awam Desa KEDA, Batu 13 di sini sempena lawatan sehari beliau ke Kedah hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Akhbar ini hari ini melaporkan tentang Pas mendesak Anwar supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam The Wall Street Journal (WSJ) baru- baru ini.

Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas meminta Anwar supaya menyaman WSJ sekiranya kenyataan tersebut telah diputar-belitkan oleh media berkenaan.

Muhyiddin menambah, pertelingkahan dalam pakatan pembangkang jauh berbeza daripada Barisan Nasional (BN) yang mempunyai pandangan dan fahaman yang serupa dalam sesuatu isu.

Mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa lebih 3.7 juta rakyat belum mendaftar sebagai pemilih, kata beliau, perkara itu sesuatu yang merugikan rakyat sendiri.

“Penting untuk mendaftar sebagai pemilih. Ini satu tanggungjawab untuk mereka (rakyat) lakukan. Kalau tak mendaftar mereka yang rugi kerana tak dapat tentukan kepimpinan negara. BN beri perhatian kepada pendaftaran pemilih,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment