My Add

Wednesday 15 February 2012

Penetapan had umur bersara 60 tahun kakitangan swasta di peringkat akhir

PUTRAJAYA, SELASA, 14 Februari, 2012: Kementerian Sumber Manusia dalam peringkat terakhir menyediakan rang undang-undang mengenai had umur persaraan 60 tahun bagi kakitangan sektor swasta yang dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya masih perlu memuktamadkan beberapa isu membabitkan rang undang-undang tersebut sebelum ia dapat dibentangkan.

"Masih ada satu dua isu yang perlu diperhalusi dan diteliti. Kalau ia dapat diselesaikan sebelum sesi Parlimen ini, kita harap ia akan dapat dibentangkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan Persatuan Industri Teknologi Berkomputer (CompTIA), Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) dan London Chamber of Commerce & Industry (LCCI) di sini hari ini.

Menerusi MoU tersebut, LCCI menawarkan kerjasama dalam persijilan berkembar kepada pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang kerani akaun dan penyelia akaun manakala CompTIA menawarkan persijilan berkembar dalam bidang sistem komputer dan rangkaian komputer.

MoU antara JPK dengan TAM pula membolehkan pemegang SKM, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) untuk menjadi ahli persatuan tersebut.

Mengulas mengenai tiga MoU tersebut, Subramaniam berkata, persefahaman yang dicapai akan memudahkan pelajar-pelajar berkenaan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

"Ini akan meletakkan pencapaian mereka selaras dengan kelayakan antarabangsa dan membantu mereka membangunkan kerjaya masing-masing. Ia juga membuka peluang kerjaya global yang lebih luas," katanya.

Dalam perkembangan lain Subramaniam berkata, penguatkuasaan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) perlu dijalankan walaupun ia dikhuatiri menyebabkan masalah kekurangan pekerja asing di negara ini.

"Program 6P perlu diakhiri dengan penguatkuasaan. Kita akan mencari jalan penyelesaian sekiranya berlaku kekurangan pekerja asing selepas ini," katanya sebagai mengulas mengenai operasi penguatkuasaan besar-besaran yang bakal dijalankan. UTUSAN

No comments:

Post a Comment