My Add

Sunday 12 February 2012

Permodalan Kedah Berhad bina hotel 14 tingkat di Langkawi

LANGKAWI, AHAD, 12 Februari, 2012: Permodalan Kedah Berhad (PKB) akan membina sebuah hotel 14 tingkat bernilai RM50 juta di Pekan Kuah di sini bagi memenuhi permintaan industri pelancongan di pulau peranginan ini.

PKB merupakan agensi kerajaan negeri yang pertama menceburi industri pelancongan di Langkawi dengan menyediakan tempat penginapan dan kemudahan berkaitan kepada orang ramai.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pembinaan hotel itu bukanlah untuk menjadi pesaing kepada hotel-hotel lain di Langkawi malah menjadi pelengkap kepada hotel sedia ada.

"PKB membina hotel bertaraf tiga bintang yang mampu diduduki semua golongan berpendapatan sederhana,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah hotel itu di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan daripada sektor swasta dan agensi kerajaan untuk membangunkan negeri Kedah.

"Dengan demikian, ia dapat menjana aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment