My Add

Wednesday 15 February 2012

Pesakit dakwa terima layanan kasar doktor

MUBARAK Shiekh Said menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung dakwaan layanan kasar yang diberikan oleh seorang doktor terhadap isterinya di Hospital Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 FebRUARI, 2012: Seorang pesakit warga emas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendakwa dirinya dilayan dengan kasar oleh seorang doktor pakar di hospital berkenaan.

Mangsa, Sharifah Rome Syed Abdul Rahman, 74, mendakwa, doktor pakar tersebut melakukan perbuatan yang disifatkannya sebagai kasar itu sebanyak dua kali iaitu pada Khamis lalu dan semalam.

"Kejadian pertama berlaku apabila doktor berkenaan berjumpa saya dan bertanyakan tentang situasi penyakit saya, kemudian saya mengadu kepadanya yang kaki saya sakit akibat gout.

"Selepas itu, doktor itu terus menepuk dan menampar kedua-dua kaki saya sambil berkata kalau kaki saya sakit, mesti kaki saya ada lebam atau tanda-tanda kesakitan. Saya minta dia berhenti buat demikian kerana ia menambah kesakitan di kaki saya," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, pada Sabtu lepas, dia telah dikeluarkan dari hospital berkenaan dan kurang enam jam selepas itu, dia pengsan dan dimasukkan semula ke hospital itu.

"Semalam, doktor berkenaan datang berjumpa saya untuk melakukan pemeriksaan dan kemudian menuduh saya tidak makan ubat yang diberikan sedangkan ubat berkenaan telah terjatuh tanpa saya sedari.

"Doktor itu turut menghamburkan kata-kata kasar kepada saya sekiranya saya tidak mahu makan ubat kerana ingin tinggal lama di sini, lebih baik saya ambil kain buruk dan penyapu untuk membersihkan kawasan hospital.

"Saya cukup terkilan dengan kata-kata yang diucapkan oleh doktor berkenaan dan hanya mampu menangis mengenangkan kata-kata doktor berkenaan yang berbaur penghinaan buat warga emas seperti saya," jelasnya.

Sementara itu, suami mangsa, Mubarak Shaikh Syed, 75, berkata, dia cukup terkilan dengan sikap doktor berkenaan yang jelas telah mencemarkan imej hospital berkenaan.

"Kenyataan menghina dan menyinggung pesakit tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang doktor kerana ia pasti akan memberi kesan kepada mental pesakit.

"Saya tidak menyalahkan hospital, tapi saya menyalahkan sikap doktor berkenaan yang biadap dan tidak profesional semasa berdepan dengan kerenah pesakit," tegasnya.

Laporan polis turut dilakukan oleh salah seorang ahli keluarga mangsa setelah doktor berkenaan mencabarnya untuk membuat laporan sekiranya tidak berpuas hati.

Sementara itu, jurucakap HKL ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan memanggil doktor berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

"Kami memandang serius perkara ini terutamanya melibatkan layanan kepada pesakit dan kes ini akan disiasat secepat mungkin.

"Sekiranya doktor berkenaan bersalah, ia terpulang kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk mengambil tindakan terhadapnya manakala dari pihak hospital pula, ia akan akan ditentukan oleh Ketua Pengarahnya," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment