My Add

Tuesday 21 February 2012

Plagiarisme: Bekas MD KJCF mahu keputusan disemak

KUALA LUMPUR, ISNIN, 20 Februari, 2012: Bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF), Datuk See Teow Chuan dan 13 lagi memfailkan satu notis usul memohon agar keputusan Mahkamah Persekutuan dikaji semula atas alasan wujud plagiarisme dalam penghakiman bertulisnya.

Mereka juga memohon mahkamah itu mengetepikan perintah yang membenarkan Syarikat Can-One Bhd. membeli 32.9 peratus kepentingan dalam KJCF.

Pada 5 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada penyelesai (responden) Kian Joo Holdings Sdn. Bhd. (KJH) bagi meneruskan penjualan 146.13 juta saham Kian Joo yang dimiliki KJH kepada Can-One pada harga RM241.12 juta.

Notis usul itu, yang difailkan minggu lepas menerusi Tetuan V.K Lingam & Co, menamakan Ooi Woon, Ng Kim Tuck dan Can-One sebagai responden.

Dalam notis itu, pemohon mendakwa penghakiman Mahkamah Persekutuan setebal 47 muka surat tersebut merupakan penghasilan semula hujah responden.

Mereka mendakwa mahkamah itu tidak mengendalikan satu kajian semula yang bebas dan berkecuali terhadap bukti serta undang-undang, selain tidak membuat analisis atau penemuan sendiri.

Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah menggunakan kuasa sedia ada mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mengkaji semula dan mengetepikan penghakimannya, serta memerintahkan pendengaran semula rayuan tersebut di depan satu panel hakim Mahkamah Persekutuan yang baru. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment