My Add

Tuesday 21 February 2012

Program Transformasi Jabatan JPJ dilancar April ini

ALOR SETAR, ISNIN, 20 Februari, 2012: Program Transformasi Jabatan (JTP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimulakan sejak pertengahan 2010 dijangka akan diaplikasikan di seluruh negara pada April ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata program melalui pembangunan semula sistem pengkomputeran jabatan itu telah pun 49 peratus siap dan berada dalam fasa pembangunan sistem.

Beliau berkata, ujian penerimaan pengguna oleh JPJ sedang berjalan bagi aktiviti utama pengurusan penguat kuasa dan kutipan hasil.

Katanya, pembangunan semula sistem itu melibatkan empat modul perkhidmatan teras JPJ iaitu pengurusan pendaftaran kenderaan dan kejuruteraan automotif, pengurusan perlesenan pemandu, pengurusan penguatkuasaan serta pengurusan kutipan hasil.

"Melalui JTP, JPJ akan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baru yang akan memberi impak positif kepada sistem penyampaian perkhidmatan seterusnya memudahkan pelanggan untuk berurusan dengan JPJ.

"Ini adalah kerana perkhidmatan JPJ bukan sahaja boleh didapati di kaunter-kaunter pejabat, malah boleh didapati secara online,” kata Kong selepas majlis perasmian pejabat baru JPJ negeri Kedah, di Suka Menanti di sini hari ini.

Cho Ha berkata, JTP juga merupakan salah satu aspirasi ke arah merealisasikan hasrat kerajaan yang menyasarkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui saluran atas talian dipertingkat kepada 85 peratus menjelang 2015. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment