My Add

Sunday 19 February 2012

Projek bekalan elektrik jana pembangunan di Jeli: Mustapa

JELI, AHAD, 19 Februari, 2012: Pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) berharga RM35 juta dengan kapasiti kuasa elektrik sebanyak 45 mega volt-ampere (MVA), akan menjana pertumbuhan pembangunan di daerah Jeli pada masa depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, projek PMU yang sedang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dijangka siap pada 2015.

"Kini, di Jeli terdapat peningkatan yang ketara dalam permintaan untuk bekalan elektrik kerana di sini sudah ada kampus Universiti Malaysia Kelantan. Kerajaan juga merancang untuk membina beberapa lagi institusi pendidikan di sini.

"Ini akan mendorong wujudnya kawasan perumahan baru dan pusat perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program TNB Bersama Pemimpin Komuniti peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Projek lain yang sedang dilaksanakan oleh TNB di Jeli ialah dua Pencawang Pembahagian Utama (PPU) yang masing-masing berharga RM9.7 juta dan RM6 juta.

Mustapa berkata, projek pembangunan yang sedang diusahakan itu akan menjadikan Jeli daerah yang lebih membangun di Kelantan, termasuk kawasan pedalaman, pada masa depan.

Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif TNB, Datuk Ir Azman Mohamad, berkata daerah Jeli terdapat 10,244 pengguna domestik, 1,948 pengguna komersial dan 17 pengguna kategori perindustrian. 

Beliau berkata, pihaknya akan terus memastikan operasi perbekalan elektrik di daerah tersebut terus berdaya harap bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

"Kita berharap masalah gangguan bekalan elektrik dapat diminimakan dan kepuasan pelanggan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Program TNB Bersama Pemimpin Komuniti itu berteraskan interaksi terbuka bertujuan memperbaiki mutu perkhidmatan dan mengeratkan lagi hubungan antara TNB dan pelanggannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment