My Add

Tuesday 21 February 2012

Rakyat harus bijak nilai NGO yang tidak telus

JOHOR BAHRU, ISNIN, 20 Februari, 2012: Rakyat perlu bijak menilai dan menapis khidmat yang diberikan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini kerana sebilangannya tidak telus di dalam perjuangan mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sesetengah badan-badan kerajaan itu tidak berjuang untuk memperbaiki nilai-nilai kehidupan rakyat sebaliknya cenderung untuk mengapi-apikan atau memperjuangkan elemen dan isu politik.

"Ada badan-badan kononnya mereka memperjuangkan hak asasi guaman tetapi mereka berpolitik.

"Ini sudah jelas dan rakyat perlu membuat penilaian itu sebelum apa-apa tindakan memilih (kuasa ketiga) hendak kita jalankan,” katanya semasa wawancara khas program “Kerusi Panas” yang menyentuh tajuk “Kuasa Ketiga” di Bernama Radio24 sempena majlis pelancaran peluasan siaran radio itu ke Johor di The Zon Mall di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan NGO yang berkhidmat secara sukarela untuk memperbaiki nilai hidup rakyat dan berada di luar kotak politik.

Jika NGO berkenaan mahu bermain politik, badan berkenaan seharusnya menjadi parti politik, katanya.

Rais berkata, setiap badan bukan kerajaan mempunyai peranan masing-masing tetapi ia tidak mutlak dan mereka juga tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana yang berkuasa sebenarnya adalah rakyat.

Beliau menasihati rakyat agar tidak mudah untuk melabelkan badan-badan bukan kerajaan itu sebagai kuasa ketiga kerana kemungkinan ia tidak memenuhi syarat-syarat yang perlu ada sebagai kuasa ketiga.

"Tetapi kita mengiktiraf bahawa mereka berhak mengeluarkan pandangan, sama ada mereka kuasa ketiga atau tidak itu rakyat biasa yang menentukan,” katanya. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment