My Add

Saturday 18 February 2012

RTC: Kluster perbankan, kewangan disediakan

GOPENG, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Kerajaan menyediakan satu kluster perbankan dan kewangan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang pertama di sini khusus untuk membantu peniaga di kawasan berkenaan dan sekitarnya memperkukuhkan perniagaan mereka.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kluster berkenaan yang terkandung dalam Inisiatif Kelapan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) disediakan untuk memudahkan peniaga di kawasan RCT memohon pembiayaan kewangan.

Kata beliau, skim-skim pembiayaan yang ditawarkan juga menawarkan kadar faedah yang rendah bagi membantu peniaga terlibat agar mereka berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk masing-masing.

"RTC merupakan inisiatif baru yang dilaksanakan kerajaan khusus untuk membangunkan kawasan luar bandar. Apa yang cuba kerajaan lakukan melalui RTC adalah memperkukuhkan dan meningkatkan rangkaian bekalan pertanian kawasan luar bandar di samping memenuhi permintaan seluruh negara.

"Dalam konteks Kementerian Kewangan, kita tumpukan soal pembiayaan. Mungkin ada peniaga di RTC yang memerlukan pembiayaan kewangan atau sektor baru yang akan datang juga memerlukannya.

"Jadi, kita letak di sini satu kluster termasuk Agro Bank, SME Bank, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membantu mereka," katanya selepas mengunjungi Pameran Inisiatif Lapan Strategi Lautan Biru: Kemudahan Kewangan di Pejabat RTC di sini hari ini.

Menurut Ahmad Husni, di bawah RTC sebanyak lapan inisiatif sedang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dengan agensi yang berkaitan bagi membangunkan kawasan luar bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Husni berkata, pelaksanaan program-program di RTC bertujuan menjadikan masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya memasarkan produk yang dihasilkan mereka di seluruh negara dan akhirnya menembusi pasaran eksport.

Jelas beliau, keadaan pasaran ketika ini boleh disifatkan sebagai permintaan melebihi penawaran dan RTC ditubuhkan berperanan memastikan keadaan itu berubah.

"RTC Gopeng dulu dikenali sebagai Terminal Agribisnes Negara (Teman) dan prestasinya agak sederhana sebab ia hanya menjadi pusat untuk orang membawa barang dan pemborong.

"Tetapi sekarang, peranannya kita perluaskan. Kita bercita-cita untuk membangunkan bekalan dari sektor luar bandar ke tahap lebih tinggi. Itu sebabnya ada kerjasama dengan universiti untuk memperkukuhkan penawaran umpamanya dari segi latihan pada peniaga supaya prestasi produk dapat ditingkatkan di samping melihat potensi baru.

"Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar yang seterusnya mampu menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment