My Add

Sunday 19 February 2012

Rumah asal Orang Asli harus dikekalkan sebagai warisan

KUALA KLAWANG, SABTU, 18 Februari, 2012: Keaslian rumah asal masyarakat Orang Asli di negara ini harus dikekalkan demi memelihara warisan seni budaya masyarakat itu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Katanya, Jabatan Warisan akan membantu beberapa perkampungan Orang Asli mengekalkan keaslian sekurang-kurangnya sebuah rumah asal masyarakat itu seperti rumah Tok Batin.

"Tidak semuanya rumah masyarakat Orang Asli harus kita konkritkan tetapi ada beberapa buah rumah misalnya rumah Tok Batin yang perlu kita bantu untuk mengekalkan keasliannya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kampung tanpa wayar di perkampungan Orang Asli di Kampung Tohor dekat sini hari ini.

Rais, yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata, langkah memelihara warisan seni budaya masyarakat itu sudah tentu akan menjadi tarikan pelancong untuk mengenali budaya dan cara hidup masyarakat itu di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya akan membantu anak Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali, 53, yang terlantar di rumah sejak kemalangan dua bulan lepas.

Katanya, beliau sendiri akan menemui Sazali dalam masa terdekat untuk menyampaikan bantuan kewangan itu.

"Untuk bantuan kewangan itu kita mempunyai pelbagai tabung termasuk Tabung Kebajikan Penggiat Seni yang boleh kita gunakan di bawah bantuan am kementerian ini.

''Saya kira tidak kurang dari RM12,000 boleh disumbangkan kepada beliau," katanya.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan sumbangan program Jalinan Murni masyarakat Orang Asli Parlimen Jelebu anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Yayasan 1MDB.

Di samping itu, Rais juga membuat lawatan program baikpulih enam buah orang Orang Asli tajaan Maxis Bhd yang berjumlah sebanyak RM25,000. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment