My Add

Sunday 19 February 2012

Ancaman terbesar umat Islam

KUALA LUMPUR, SABTU, 18 Februari, 2012: Tindakan segelintir umat Islam yang mempergunakan agama bagi kepentingan politik merupakan ancaman terbesar terhadap kesucian agama tersebut di negara ini.

Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, golongan tersebut akan sewenang- wenangnya mengeluarkan pelbagai fatwa terhadap pihak yang menentang mereka.

Katanya, keadaan itu jelas ditunjukkan semasa isu kehadiran Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang pada majlis berkaitan perayaan Thaipusam baru-baru ini.

"Misalnya dua hari lalu saya telah memuat naik di Facebook gambar Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves sebelum ini.

"Selepas itu, saya telah mendapat hampir 1,000 komen menyatakan kehadiran Perdana Menteri itu menyalahi akidah serta pelbagai fatwa berbaur politik.

"Namun apabila saya memuat naik gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa meraikan perayaan berkaitan di Ipoh, mereka mengatakan pula gambar itu perlu disiasat kerana kemungkinan iasuperimposed (menggunakan teknik penindanan).

"Di sini kita boleh melihat pendirian pihak ini. Kita tengok cara mereka jelas namun berbeza daripada teks dan konteks sebenar," katanya sewaktu menjadi ahli panel sesi kedua Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini hari ini.

Beliau yang juga Felo Pusat Kajian Islam Oxford (OCIS) Universiti Oxford berkata, tindakan mempergunakan agama itu memberi kesan besar terhadap agama serta segala penghujahan politik dengan niat tersebut merupakan dosa yang sangat besar.

Sehubungan itu, katanya, umat Islam terutama golongan ulama tidak boleh menyembunyikan kebenaran meskipun ia tidak berpihak kepada mereka.

Justeru beliau turut meminta golongan ulama agar berbincang mengenai panduan, adab dan hukum terhadap konsep fikh siber memandangkan telah banyak berlaku penyalahgunaan siber oleh penganut agama itu sejak kebelakangan ini.

Katanya, soal penggunaan internet perlu diberi kupasan mendalam agar sebuah garis panduan yang harus dipatuhi mereka dapat dikeluarkan.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan garis panduan bagi pemimpin beragama Islam yang ingin menghadiri majlis membabitkan perayaan agama lain.

Katanya, garis panduan itu penting supaya tidak timbul sentimen atau fatwa-fatwa yang mengatakan kehadiran pemimpin tersebut telah menggadai akidah sehingga mewujudkan konflik antara ummah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment