My Add

Saturday 11 February 2012

Salurkan maklumat keluarga susah - Nooh Gadut

KUALA LUMPUR, SABTU, 11 Februari, 2012: Umat Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat mengenai kesusahan hidup yang dihadapi oleh keluarga Islam lain kepada pihak berkuasa agama.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, ia bagi mengelak keluarga berkenaan mendapatkan bantuan daripada pertubuhan agama lain kerana dikhuatiri tindakan itu boleh mengganggu soal akidah mereka.

Jelasnya, maklumat yang disalurkan itu akan membolehkan bantuan sewajarnya diberikan dan mengelak situasi yang berlaku terhadap lima sekeluarga Islam yang sanggup tinggal di rumah kebajikan dikendalikan oleh sebuah gereja di ibu kota akibat desakan hidup.

"Semua golongan seperti pihak berwajib, imam, guru, penghulu dan umat Islam lain perlu memainkan peranan dengan menyampaikan maklumat mengenai penduduk yang susah kepada Jabatan Agama Islam di daerah atau negeri masing-masing.

"Saya yakin jabatan agama sentiasa membantu umat Islam yang menghadapi masalah seperti yang dihadapi keluarga itu. Kemudahan penempatan sementara dan bantuan tertentu memang ada disediakan dan diperuntukkan untuk golongan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam

Beliau mengulas mengenai seorang ibu tunggal dan empat anaknya yang sanggup tinggal di rumah kebajikan dikendalikan oleh sebuah gereja di ibu kota akibat desakan hidup.

Tambah Nooh, jika maklumat disampaikan, namun tiada tindakan diambil bagi mengatasinya, maka pihak berkuasa berkenaan tidak amanah.

"Ajaran Islam yang sempurna dengan budaya dan akhlaknya dapat menghalang daripada perkara sebegini berlaku lagi. Melalui tanggungjawab institusi masjid, kejiranan dan ahli keluarga dapat memastikan umat Islam yang mempunyai masalah dan kesusahan dapat dibantu.

Nooh seterusnya mencadangkan agar masjid menyimpan maklumat mengenai ahli kariah dan asnaf seperti fakir, miskin dan ibu tunggal di kawasan mereka bagi memudahkan urusan bantuan disalurkan.

No comments:

Post a Comment