My Add

Sunday 19 February 2012

Sambutan Tahun Baru Cina di Pasir Mas meriah

PASIR MAS, SABTU, 18 Februari, 2012: Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di Gedung Cina, iaitu kawasan penempatan masyarakat Tionghua dan Siam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir malam tadi meriah dengan kehadiran hampir 1,000 orang.

Kemeriahan tersebut menyangkal dakwaan bahawa kaum Cina tidak lagi memberi sokongan kepada beliau ekoran tindakan beberapa pihak memperbesarkan isu pemberian angpau menggunakan sampul putih di Kuala Lumpur sebelum ini.

Majlis yang dirancang sejak dua minggu lalu itu juga dikatakan cuba disabotaj pihak luar yang datang ke situ dua hari lalu untuk menghasut penduduk agar tidak keluar berikutan isu tersebut.

"Saya amat gembira apabila majlis yang dirancang sejak dua minggu lalu ini meriah, malah kesemua 370 penerima angpau yang sudah didaftarkan termasuk 10 orang kurang upaya datang.

"Memanglah saya marah apabila pihak luar datang ke sini dan bertanya kepada penduduk sini sama ada mahu datang, malah mereka turut cuba mempengaruhi masyarakat Cina dan Siam dengan memberitahu bahawa saya memberikan sampul putih ketika di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis itu malam tadi.

Pada majlis tersebut, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberikan angpau kepada semua penerima dalam sampul merah yang turut diletakkan gambar beliau.

Selain itu, beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM27,000 kepada kuil di situ dan bagi membina rakit serta membaiki gelanggang bola keranjang di kampung berkenaan.

Mengulas isu sampul putih itu, Ibrahim berkata, beliau sudah memberikan banyak penjelasan dan ia tidak perlu dipanjangkan, selain turut berjanji perkara tersebut tidak akan berulang.

"Saya sudah kata pada majlis itu saya datang lambat dan sampul tersebut diuruskan oleh urusetia program, malah banyak wartawan Cina yang hadir pada masa itu tidak menegur saya. Apa pun saya tidak akan mengambil tindakan kepada pihak yang memperbesarkan perkara ini. Saya maafkan mereka," tegas beliau.

Sementara itu, Ibrahim turut menyatakan hasratnya untuk terus bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum akan datang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment