My Add

Saturday 18 February 2012

Sanggup buat apa sahaja untuk jadi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, JUAAT, 17 Februari, 2012: Pendedahan Raja Petra Kamaruddin mengenai keengganan seorang ahli perniagaan, Datuk John Soh Chee Wen menyumbang RM300 juta bagi menjayakan rancangan 16 September 2008 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan ketua pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Anwar sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengemis dan menggunakan cara kotor untuk menjadikan rancangannya itu satu realiti.

Katanya, kemaruk Anwar untuk memegang kuasa menyebabkan beliau mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara bagi mencapai cita-citanya itu.

"Tetapi jika seorang rakan baik Anwar sendiri sudah tidak yakin akan rancangannya untuk menawan Putrajaya dengan wang RM300 juta, maka sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan terbaru pengendali portal Malaysia Today itu mengenai keengganan John Soh menyumbang dana berjumlah RM300 juta itu kepada Anwar empat tahun lalu menjadi punca Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kempunan menduduki Putrajaya.

Melalui pendedahan itu, Raja Petra berkata, wang RM300 juta itu sangat diperlukan Anwar ketika itu untuk digunakan sebagai bayaran 'pendorong' RM10 juta seorang bagi 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti dan seterusnya membantu beliau merampas Putrajaya.

Mohd. Zahid berkata, walaupun tidak mengenali rapat John Soh, namun beliau tahu ahli perniagaan itu sememangnya sudah rapat dengan Anwar sejak Ketua Pembangkang itu memegang jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan lagi.

"Jika betul apa yang didedahkan Raja Petra itu, saya yakin bahawa semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, beliau telah salah guna kuasanya dengan mencipta pelbagai peluang perniagaan bagi individu seperti John Soh ini.

"Kemudian Anwar akan gunakan individu ini untuk kepentingan dirinya. Tetapi Anwar lupa bahawa orang seperti John Soh sudah pasti mahukan pulangan. Sebab itu, dari awal lagi dia sudah tidak percaya rancangan 16 September Anwar itu," katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Keadilan, Nordin Ahmad berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya telah menerima tajaan pelbagai pihak sejak mula penubuhannya.

Katanya, beliau sendiri tidak terkejut apabila Raja Petra mendedahkan mengenai pembabitan John Soh itu dan keengganannya untuk membiayai RM300 juta bagi rancangan 16 September Anwar itu.

"Sebab John Soh ini tahu bahawa rancangan Anwar akan gagal. Jadi untuk tutup kegagalan itu, Anwar menggunakan alasan memburuk- burukkan dan provokasi terhadap BN pula," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment