My Add

Saturday 18 February 2012

Pas perlu pimpin pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Sekarang adalah masa terbaik untuk Pas mengembalikan semula keyakinan rakyat khususnya orang Melayu terhadap parti itu dengan mengambil alih kepimpinan pakatan pembangkang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disuarakan sendiri tokoh akademik Islam tersohor negara, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid ekoran beberapa tindak-tanduk Anwar yang dilihat bukan sahaja merugikan pakatan tetapi jelas menghina Islam termasuk kenyataan terbaru berhubung Israel.

Beliau yang merupakan Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menambah, tindakan parti itu membenarkan PKR menerajui pakatan bukan hanya merugikan pembangkang tetapi juga Pas.

Katanya, jika pemimpin Pas 'malu alah' untuk bertindak sekarang, beliau bimbang parti kedua terbesar orang Melayu itu akan menjadi seperti ular sawa dalam pakatan, iaitu memiliki badan besar tetapi tidak berbisa sehingga boleh digigit oleh semut dan kerengga.

"Menilai situasi semasa sudah tiba masa untuk Pas mengambil langkah memimpin sendiri pakatan dan tidak mengharapkan mana-mana tokoh dari PKR atau DAP. Membenar peranan pemimpin de facto dimainkan parti serpihan hanya akan mengulangi kegagalan lalu.

"Pakatan dengan parti Semangat 46 sebelum ini di mana peranan pemimpin de facto dimain pemimpin parti serpihan merupakan sebab utama kegagalan pada waktu itu. Parti serpihan tidak mempunyai akar umbi yang kuat untuk meluncur mahu pun bertahan.

"Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu lebih yakin untuk memimpin dan jangan rasa rendah diri berhadapan dengan rakan dalam pakatan, maknanya Pas perlu membawa arah kemudian diikuti PKR dan DAP," katanya sebagaimana dipetik di laman sosial Facebooknya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment