My Add

Wednesday 15 February 2012

Simpang maut Jalan Sukepi

SIMPANG Jalan Sukepi di Kampung Jenjarom Kuala Langat yang didakwa penduduk sering berlaku kemalangan.

KUALA LANGAT, SELASA, 14 Februari, 2012: Sikap ramai pemandu yang tidak mematuhi had laju yang ditetapkan semakin membimbangkan penduduk di sekitar simpang tiga Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom di sini.

Ini kerana kemalangan termasuk yang membawa maut semakin kerap berlaku di kawasan tersebut dan lebih merisaukan mereka, persimpangan itu terletak tidak jauh dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung berkenaan, Ma'amin Radiman meminta pihak berkuasa membina bonggol di laluan tersebut demi keselamatan semua pihak.

Menurutnya, bukan sahaja kenderaan ringan yang dipandu laju tetapi kenderaan berat juga dipandu laju dan semakin banyak yang menggunakan jalan raya memandangkan ia merupakan jalan alternatif untuk ke Kota Kemuning, Shah Alam.

"Kami risau akan berlaku kemalangan di kawasan tersebut terutama melibatkan para pelajar sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Halimah Kasim, 42, berkata, persimpangan tersebut semakin bahaya berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakannya berbanding sebelum ini.

"Penduduk kampung sangat berharap agar pihak berkuasa akan bertindak segera bagi mengatasi masalah tersebut.

"Lampu isyarat rasanya tidak sesuai kerana ia akan menyebabkan kesesakan. Jalur kuning atau bonggol sudah memadai kerana ia akan memaksa pemandu dapat memperlahankan kenderaan mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment