My Add

Wednesday 15 February 2012

14 motosikal musnah dibakar dipercayai perbuatan khianat

KUALA LUMPUR, SELASA, 14 Februari, 2012: Perbuatan khianat membakar dan merosakkan kenderaan penduduk seperti menjadi trend dalam pergaduhan sejak kebelakangan ini apabila 14 buah motosikal lagi rosak akibat dibakar di dua lokasi berasingan di Setapak malam tadi.

Kejadian bermula pada pukul 1 pagi, apabila 13 buah motosikal milik penduduk Perumahan Rakyat Seri Semarak terbakar angkara perbuatan khianat.

Kebakaran itu disedari penduduk apabila melihat api marak di tempat letak motosikal pangsapuri berkenaan sebelum mereka bertindak memadamnya.

Walaupun empat daripada 13 motosikal itu hangus namun kepantasan penduduk dan pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya menghalang api daripada merosakkan sebuah kereta.

Pada pukul 2.30 pagi, satu lagi kejadian khianat membakar motosikal berlaku di Perumahan Rakyat Kampung Baru Ayer Panas yang terletak satu kilometer daripada lokasi kebakaran pertama.

Dalam kejadian itu sebuah motosikal hangus terbakar manakala sebuah kereta dipecahkan cerminnya. Kedua-dua kenderaan tersebut didakwa milik individu sama.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Annuar berkata, Unit Forensik Bomba masih melakukan siasatan lanjut berhubung kedua-dua kes.

Katanya, akibat kejadian khianat itu kesemua pemilik kenderaan bagi kedua-dua kes terpaksa menanggung kerugian dianggarkan RM60,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

Sebelum ini pada 28 Januari lalu, pendud Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya turut menjadi mangsa kejadian sama apabila 26 motosikal dan sebuah teksi milik mereka musnah dibakar sekumpulan lelaki yang bermotifkan dendam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment