My Add

Saturday 18 February 2012

Sokongan rakyat meningkat - TPM

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 17 Februari, 2012: Barisan Nasional (BN) yakin menawan semula Parlimen Batu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum akan datang berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melahirkan keyakinan itu berkata, senario 2008 yang menyaksikan rakyat menolak BN tidak berlaku lagi ekoran transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, antara transformasi kerajaan yang berjaya memikat hati rakyat ialah penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan terbaru Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Pada 2008, ramai tidak sokong tetapi sekarang keadaan sudah baik. Kita sedar ada kelemahan dan kita perbaiki kelemahan tersebut," katanya pada majlis penyampaian BR1M di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, di Jinjang di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 3,500 golongan berpendapat rendah daripada pelbagai kaum menerima bantuan BR1M berjumlah RM500 seorang.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyelar tindakan pembangkang yang sanggup membohongi rakyat kononnya BR1M adalah 'gula-gula' pilihan raya, sedangkan kerajaan ikhlas mahu membantu rakyat yang kurang bernasib baik.

Malah, beliau kecewa dengan sikap segelintir pemimpin Pas yang menuduh BR1M adalah duit rasuah sedangkan, wang tersebut merupakan wang rakyat yang dikembalikan semula oleh kerajaan kepada rakyat berpendapatan rendah.

"Ini bukan duit rasuah, ini duit kerajaan yang kita ambil daripada cukai rakyat dan kita bagi semula kepada rakyat. Pemberian BR1M ini bukan rasuah sebagaimana dituduh pembangkang, tetapi bukti kerajaan BN peka dengan masalah rakyat, kita mahu bantu rakyat," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM600,000 bagi tujuan pembinaan surau di kawasan PPR Beringin dan pada masa yang sama, setuju untuk meluluskan peruntukan bagi pembinaan sebuah dewan orang ramai. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment