My Add

Sunday 26 February 2012

Spikes ditubuh atasi banteras penghasilan dadah sintetik

Oleh ANGELINA SINYANG

PETALING JAYA, SABTU, 25 Februari, 2012: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan akan mewujudkan Sistem Integrasi Kawalan Efektif (Spikes) bagi membanteras penghasilan dadah sintetik yang dilakukan sindiket menerusi adunan pelbagai jenis ubat-ubatan dan bahan kimia.

Ini kerana kajian mendapati pelbagai ubat-ubatan dan bahan kimia industri kini menjadi buruan sindiket untuk diadun menjadi dadah sintetik sebelum diedarkan kepada penagih di negara ini.

Kegiatan tersebut dikenal pasti menjadi punca berlakunya peningkatan mendadak penghasilan dadah jenis methamphetamine (syabu) dan MDMA (ekstasi) sejak kebelakangan ini sehingga membawa kepada banyak kes rampasan dadah jenis itu membabitkan nilai ratusan juta ringgit.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian itu, Datuk Eisah A. Rahman berkata, Spikes merupakan inisiatif kerajaan di bawah Makmal Jenayah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan mengurangkan jenayah terutamanya jenayah jalanan diakibatkan oleh penyalahgunaan dadah.

“Sistem Spikes adalah idea Biro Pengawalan Farmaseutikal bertujuan mengawal sepenuhnya bahan narkotik, bahan psikotropik dan bahan kimia prekursor yang digunakan untuk tujuan rawatan perubatan serta kegunaan industri.

“Sistem ini diwujudkan kerana sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah terutamanya membabitkan dadah perangsang seperti methamphetamine dan MDMA.

“Dadah moden ini dihasilkan daripada tindak balas kimia bahan prekursor ubat-ubatan atau industri yang diadun menjadi bahan mengkhayalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran Spikes di Dewan Anggerik, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Pengarah Penguat Kuasa Farmasi, Mohd. Hatta Ahmad.

Menurut Eisah, Spikes diwujudkan khusus bagi meningkatkan kawalan terhadap bahan prekursor kerana sudah tiba masanya satu sistem kawalan bersepadu dibangunkan untuk menentukan penggunaannya yang sah.

Beliau berkata, ia juga secara tidak langsung dapat mencegah bahan kimia dan ubat-ubatan daripada disalah guna untuk menghasilkan dadah sintetik.

“Selain itu, Spikes turut memudahkan kawalan daripada segi permohonan lesen, permit dan kebenaran mengimport atau mengeksport ubat-ubatan dan bahan kimia.

“Malah semua maklumat dalam sistem ini boleh diakses dan dikongsi bersama dengan lain-lain agensi penguatkuasaan dadah di negara ini seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Kimia,” ujarnya.

Eisah berkata, antara modul terdapat dalam sistem Spikes adalah kawalan ke atas bahan narkotik yang diimport, transit dan eksport; kawalan terhadap bahan psikotropik; permit membeli dan mengguna bahan psikotropik ‘buprenorphine’ dan ‘methadone’; permit membeli dan mengguna bahan psikotropik bagi kegunaan industri serta kawalan ke atas bahan kimia prekursor.

Menurutnya, sistem Spikes turut berperanan melakukan kawalan ke atas pembelian bahan psikotropik domestik, pemeriksaan dan penyiasatan serta membuat laporan tahunan kepada Lembaga Kawalan Dadah Antarabangsa (INCB).

Katanya, Spikes akan dapat beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun ini dan dijangka dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kadar jenayah jalanan terutamanya berpunca akibat penyalahgunaan dadah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment