My Add

Wednesday 15 February 2012

SPRM diminta siasat dakwaan MCA

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan replika cek Program Bantuan Rumah kepada Ahmad Bashah Md. Hanipah (tengah) sambil diperhatikan oleh Mukhriz Mahathir (kiri) dan Ahmad Lebai Sudin (kanan) di Pokok Sena, Kedah, semalam.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH dan MOHD. SHARIZA ABDULLAH

POKOK SENA, SELASA, 14 Februari, 2012: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan MCA Kedah berhubung isu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memulangkan semula antara 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan itu sangat serius dan jika benar berlaku, ia merupakan rasuah dan bercanggah dengan undang-undang.

"Pada tafsiran saya, itu rasuah dan bercanggah dengan undang- undang. Jika ada laporan polis dibuat, SPRM perlu membuat siasatan mendalam bagi memastikan adakah dakwaan itu betul.

"Jika NGO perlu memulangkan semula sehingga 30 peratus daripada jumlah bantuan, ini adalah rasuah. Walaupun pakatan pembangkang selalu berkata mereka menentang rasuah, namun mereka mengamalkan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersama rakyat di Padang Awam Desa Keda, Batu 13, Pokok Sena di sini bersempena lawatan rasmi sehari ke Kedah hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Penyelaras Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin.

Muhyiddin mengulas tentang kenyataan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew yang mahu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberi penjelasan mengenai isu NGO perlu memulangkan semula antara 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang diterima daripada kerajaan negeri.

Itt Chew mendakwa lapan NGO di negeri ini telah memaklumkan kepada pihaknya mengenai pemulangan balik atau rebat antara 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalurkan.

Dakwa beliau, dalam dialog di Sungai Petani baru-baru ini, sebuah NGO mengaku bantuan sebenar sebanyak RM50,000 dipotong sebanyak RM15,000 dan hanya menerima RM35,000.

Muhyiddin yang terkejut dengan dakwaan itu berkata, jika dibuktikan dakwaan tersebut benar, tindakan yang sewajarnya harus diambil ke atas pihak terbabit.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment