My Add

Wednesday 15 February 2012

Siasat dakwaan Raja Petra

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, SELASA, 14 Februari, 2012: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dua pendedahan oleh penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin termasuk skandal perlombongan pasir di Selangor.

Pengerusinya, Budiman Mohd. Zohdi berkata, laporan itu dibuat bagi meminta SPRM menyiasat pendedahan Raja Petra pada 6 Januari lalu yang mendakwa abang ipar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali iaitu Johan Taharin berjumpa dengan pemaju untuk mendapatkan wang bagi memudahkan kelulusan dari kerajaan negeri.

"Kami percaya tindakan itu berunsur rasuah dan meminta SPRM siasat dakwaan ini. Sekiranya dakwaan Raja Petra adalah satu fitnah maka kita cabar Johan membuat laporan terhadap Raja Petra," katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Budiman turut meminta SPRM menyiasat pendedahan Raja Petra pada 9 Februari lalu yang mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang terbabit dalam skandal perlombongan pasir di Selangor dan mengaku menerima bayaran daripada Double Dignity Sdn. Bhd. (Double Dignity) atas kapasiti sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Raja Petra mendakwa pada 16 Januari 2010, Double Dignity sudah mengajukan permohonan mengeluarkan pasir seluas 18.2 hektar di kawasan Dengkil, Sepang, Selangor dan salinan permohonan itu diberi kepada dua ADUN iaitu Mat Suhamimi Shafiei dan Amiruddin Shari.

"Pendedahan pada 18 Januari tahun lalu amat mengejutkan apabila mereka berdua sebenarnya Ahli Lembaga Pengarah Double Dignity.

"Justeru kami mendesak pihak SPRM siasat dakwaan ini sekiranya wujud salah guna kuasa dan konflik kepentingan kerana menyokong syarikat yang mereka sendiri adalah Ahli Lembaga Pengarah.

"Sekiranya dakwaan ini fitnah, kita cabar kedua-dua mereka membuat laporan polis terhadap dakwaan Raja Petra," katanya.

Beliau berkata, semua tindakan itu sangat bertentangan dengan manifesto Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu kononnya mereka mengamalkan pentadbiran yang telus dan bebas daripada amalan kronisme. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment