My Add

Thursday 16 February 2012

Sudah sembilan tahunI ibu menanti anak pulang

SUNGAI PETANI, RABU, 15 Februari, 2012: Sudah sembilan tahun menanti, namun tiada tanda-tanda anaknya akan pulang.

Penantian itu terpaksa ditanggung seorang ibu, Che Nen Saad, 61, yang mengharap kepulangan anaknya setelah menghilangkan diri dari rumah di Kampung Jerung, Jalan Kuala Ketil, dekat sini sejak 2003.

Episod malang warga emas itu bermula apabila anak ketiga daripada tujuh beradik, Mohamad Zamri Imandin yang ketika itu berusia 26 tahun keluar dari rumah selepas berselisih faham dengan ahli keluarga.

"Kali terakhir saya terserempak dengan dia ialah pada tahun 2003 semasa mengunjungi pejabat wakil rakyat. Namun begitu, dia tidak bercakap dengan saya dan terus meninggalkan pejabat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Che Nen dan suaminya, Imandin Abdullah, 71, bersama saudara-mara lain berusaha mencari Mohamad Zamri di merata tempat tetapi gagal.

"Ada kawan-kawan beritahu anak kami ini ada di Taman Keladi, Sungai Petanitetapi apabila kami cari, tak jumpa," katanya.

Warga emas itu menambah, beberapa kenalan kepada anaknya itu juga ada memberitahu bahawa Mohamad Zamri kini bekerja di Dubai.

"Namun kami tidak dapat pastikan sejauh mana kebenaran berita itu. Apa pun, saya berharap dapat jumpa dia sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya yang menghidap penyakit jantung.

Che Nen berkata, Mohamad Zamri, lulusan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan seorang anak yang baik dan sentiasa membantu ahli keluarga yang lain.

"Namun disebabkan perselisihan faham kecil, dia terus meninggalkan kami. Apa pun, kami semua sedia memaafkannya," jelasnya.

Orang ramai yang mengetahui lokasi atau mengenali Mohamad Zamri diminta menghubungi Imandin di talian 019-4713736 atau ibunya, 016-4064348. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment