SULTA Ahmad Shah melawat kapal selam Kapal Diraja Tun Razak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di Kuantan, semalam. Turut sama Panglima Tentera Laut, Abdul Aziz Jaafar dan Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob. KUANTAN, RABU, 08 Februari, 2012: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah semalam berkenan mencemar duli melawat kapal selam kedua negara, KD Tun Razak yang buat julung kalinya berada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini. |
Baginda juga turut berkenan melawat kapal peronda generasi baru kedua, KD Pahang yang kembali ditempatkan di pangkalan TLDM berkenaan di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 1.
Sebelum ini ia berpangkalan di Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu, Sabah.
Hadir sama pada lawatan di raja tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan dan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Dalam titah tersebut, baginda mengucapkan tahniah kepada warga TLDM kerana membuktikan kemampuan untuk mengendalikan KD Tun Razak yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih dan moden.
"Beta bangga dengan kredibiliti dan profesionalisme ditunjukkan oleh warga TLDM untuk mengendalikan kapal selam ini yang merupakan aset paling canggih dimiliki negara.
'Ini membuktikan keupayaan warga TLDM yang kini bagi beta akan mampu menjadi setanding tentera laut lain di seluruh dunia," titah baginda.
Mengenai kepulangan KD Pahang ke negeri ini, baginda bertitah, ia umpama sirih pulang ke gagang.
"Kepulangan kapal ini bagi beta merupakan simbolik dan bakal menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat dan warga Pahang," titah baginda.
Sultan Ahmad Shah dalam pada itu mengingatkan seluruh warga TLDM supaya tidak leka dengan kejayaan yang telah dicapai sebaliknya terus berusaha meningkatkan pencapaian organisasi tersebut.
"TLDM perlu sentiasa menjaga prestasi dan terus berusaha jika ingin mencapai visinya untuk menjadi pasukan tentera laut bertaraf dunia," titah baginda. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment