My Add

Wednesday 8 February 2012

100 mahasiswa UTM berkayuh cari dana bantu rakyat Palestin


KONVOI Kayuhan Amal Anak Merdeka 1Malaysia Jelajah Semenanjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memulakan kayuhan basikal di Tanjung Kling Melaka, semalam.

MELAKA, RABU, 08 Februari, 2012: Ketika ada pihak tertentu di dalam negara yang seolah-olah cuba menyokong negara Israel, lebih 100 pelajar Kolej Mahasiswa Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula menganjurkan Kayuhan Amal Anak Merdeka 1Malaysia (Trans 1Malaysia) bagi mengumpul dana membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.

Melalui program itu, semua peserta terbabit berbasikal sejauh 1,014 kilometer dari Johor ke Perlis bermula Ahad lalu dan dijangka tamat pada 17 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa UTM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Tajuddin Ninggal berkata, program itu dianjurkan untuk mencari sebanyak mungkin dana bagi disalurkan kepada rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Zionis itu.

Menurutnya, program itu menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM20,000 menerusi sumbangan pemimpin dan masyarakat di setiap destinasi yang disinggahi sepanjang kayuhan itu.

"Hari ini merupakan hari ketiga apabila kita sampai di Melaka dan dana yang terkumpul selepas melalui Benut, Batu Pahat dan Muar ialah sebanyak RM5,000.

"Peserta menyambung kembali kayuhan menuju Rumah Kanak-Kanak Rembau, Sekolah Kebangsaan (SK) Abu Bakar Hilir dan persinggahan terakhir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi keseluruhan melalui 147 kilometer," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelepasan Trans 1Malaysia yang disempurnakan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron di Institut Koreksional, Tanjung Kling di sini, semalam.

Idris turut menyumbangkan RM3,000 kepada dana bagi membantu rakyat Palestin.

Mohd. Tajuddin berkata, program itu adalah kali ketiga diadakan dan ia mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi serta pihak swasta seperti Aqsa Syarif, Gin Huat Trading Berhad dan Malakoff Corporation Berhad.

Kata beliau, peserta yang terlibat terdiri daripada 20 urus setia, 40 pelajar Kolej Mahasiswa Perdana, 20 Belia 4B Johor dan 25 daripada alumni UTM termasuk kakitangan universiti berkenaan.

Sementara itu, Idris melahirkan rasa kagum dengan semangat kental yang dipamerkan oleh pelajar UTM dari Kolej Mahasiswa Perdana melakukan kayuhan basikal semata-mata ingin mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin.

"Semangat ini sewajarnya dipupuk di kalangan pelajar kerana ia dapat memupuk semangat kerjasama menghadapi cabaran lebih getir di masa akan datang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment