My Add

Sunday 26 February 2012

Syor gubal undang-undang beri nafkah isteri

TELUK INTAN, SABTU, 25 FebRUARI, 2012: Kerajaan diminta menggubal undang-undang bagi membolehkan golongan isteri di negara ini memperoleh kewangan secara tetap setiap bulan daripada suami bagi mengatasi masalah pemberian nafkah yang disifatkan semakin kritikal pada masa ini.

Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat ketika mencadangkan perkara itu berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan sebarang bentuk pengabaian tanggungjawab suami kepada isteri termasuk yang bekerja.

Menurut beliau, antara langkah penyelesaian yang boleh dilakukan termasuklah pemberian wang secara potongan gaji automatik daripada majikan suami atau melalui simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

‘‘Sebaik sahaja pasangan mendirikan rumah tangga, si isteri harus mendaftarkan perkahwinannya serta memberi butiran diri kepada majikan suami. Maka setiap bulan, isteri hanya ‘cucuk’ kad wang pengeluaran automatik (ATM) di bank. Kalau anak seorang RM200, kalau tiga RM600.

‘‘Memberi nafkah umpama satu sel atau tunjang dalam perkahwinan. Apabila suami cuai melunaskannya, dia kedekut dan bakhil, biasanya ia menular kepada perkara lain seperti pengabaian anak, kecurangan, tidak balik ke rumah serta memukul isteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi salah seorang panel Seminar Kesedaran Hak dan Perundangan anjuran bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Perak dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Hilir Perak di sini hari ini.

Majlis penutup program tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Saiful Bahar Mohd. Arshad merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan.

Khairul Anwar memberitahu, hasil kaji selidik Sukaguam yang melibatkan 2,500 responden terdiri daripada golongan isteri mendapati, lebih 50 peratus suami culas dalam menunaikan tanggungjawab sama ada kepada pasangan mahupun anak-anak.

‘‘Justeru, peruntukan undang-undang minimum di Mahkamah Syariah sedia ada iaitu penjara enam bulan dan denda sebanyak RM3,000 ke atas suami yang mengabaikan nafkah juga mungkin boleh ditingkatkan,” tambah beliau.

Dalam pada itu katanya, Sukaguam bakal memperluaskan khidmat rangkaiannya di Perak dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan sasaran mengumpulkan 20 peguam untuk menjadi ahli bersekutu.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya yang bergerak dengan kekuatan 50 peguam, lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang.

“Kita juga menggalakkan ahli bersekutu lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengusaha restoran untuk menjadi tuan rumah supaya kita boleh memberi khidmat rundingan percuma kepada orang ramai,” jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment