My Add

Sunday 26 February 2012

Tercemar: Loji rawat air Semenyih henti sementara operasi

KUALA LUMPUR, SABTU, 25 Februari, 2012: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihentikan sementara operasinya kerana kandungan ammonia dikesan berada pada paras 7.0ppm (part permilion) melebihi paras normal iaitu 1.5ppm pada pukul 5.10 pagi ini.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, pengendali loji itu, Konsortium Abass mengesyaki pencemaran itu berpunca daripada pembuangan sisa industri di kawasan berdekatan.

“Akibat kejadian itu kira-kira 280,000 akuan bekalan air atau 1.3 juta pengguna di sekitar Sepang, Kuala Langat, Petaling dan Hulu Langat berpotensi menghadapi masalah gangguan bekalan air bersih.

“Syabas telah meletakkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abdul Halem, pengendali loji telah memaklumkan bahawa paras ammonia telah menurun pada pukul 7 pagi dan loji berkenaan kembali beroperasi sejam selepas itu

“Gangguan bekalan air tidak berjadual telah mula berlaku di sekitar Hulu Langat terutama di Seksyen 1 dan 3 Bandar Baru Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Taman Dusun Jaya di Semenyih dan kawasan Sungai Merab di Sepang akibat paras imbangan kolam masih belum stabil.

“Kami juga khuatir ketidakstabilan imbangan kolam akan berterusan dan gangguan itu dijangka pulih sepenuhnya pada esok, manakala Syabas telah menyusun semula pengeluaran dan agihan air dengan tujuan mengurangkan gangguan air kepada pengguna,” ujarnya.

Abdul Halem meminta pihak industri supaya lebih berhati-hati menjalankan aktiviti terutama yang berhampiran dengan sungai dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan yang lebih kerap terhadap aktiviti berkenaan.

“Pengendali loji juga telah memaklumkan kejadian itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan sila hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian 1-800-88-5252 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip PUSPELaduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment