My Add

Monday 20 February 2012

Tak mustahil guling kerajaan

Oleh KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Februari, 2012: Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di negara ini yang menerima sokongan kewangan dari Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan kerajaan sebagai tidak mustahil.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagaimanapun, perkara itu masih memerlukan bukti-bukti yang kukuh untuk tindakan selanjutnya.

"Tak mustahil tapi kita perlukan bukti-bukti yang kukuh," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir memberi amaran bahawa Malaysia tidak akan terkecuali daripada menghadapi gerakan menggulingkan kerajaan sedia ada kerana terdapat NGO dan parti politik di negara ini yang menerima sokongan kewangan dari AS.

Tegas Dr. Mahathir lagi, sejak dahulu lagi AS memberi sokongan kewangan kepada mana-mana NGO dan parti politik bagi menggerakkan usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh negara tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin dalam kenyataan berasingan hari ini yakin Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi atau Agency Link Up System (ALiS) yang dilancarkan pada hujung tahun lalu itu mampu menyelesaikan isu pengundi hantu secara lebih komprohensif.

Menurut beliau, ini kerana selain memudahkan urusan mendapatkan permit mengubur dan sijil kematian, sistem ini berkongsi maklumat di antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan lapan agensi kerajaan lain, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, ia juga dapat menambahbaik dan mengemaskinikan segera segala data mengenai daftar pemilih oleh pihak SPR iaitu selaras dengan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Pilihan Raya (PSC) sebelum ini.

''Laporan kematian seorang pengundi akan terus disalurkan kepada semua agensi yang berkongsi maklumat dan pihak SPR pula akan bertindak mengemaskinikan data daftar pemilih dengan mengeluarkan nama si mati sebagai pengundi setelah menerima laporan tersebut secara dalam talian.

''Sebelum ini pihak SPR tidak boleh sewenang-wenangnya membuang nama pengundi yang didakwa sudah meninggal dunia jika tidak dibuktikan waris si mati dengan sijil kematian yang dikeluarkan JPN," katanya.

Jumaat lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negara (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, ALiS yang dilancarkan 1 Disember 2011 antara lain akan membolehkan data mengenai kematian seseorang pengundi dimaklumkan di balai polis ketika waris si mati memohon permit kubur, disalurkan terus secara automatik ke JPN untuk dikemas kini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment