My Add

Friday 3 February 2012

Tenaga nuklear: AS hormati Malaysia

BANGI, jumaat, 03 Februari, 2012: Amerika Syarikat (AS) menghormati pendirian Malaysia sekiranya mahu membangunkan teknologi tenaga nuklear dengan cara yang selamat.

Timbalan Penolong Setiausaha Polisi dan Usahaasama Antarabangsa Pejabat Tenaga Nuklear Amerika Syarikat (AS), Dr. Edwards McGinnis berkata, untuk tujuan itu Malaysia perlu berkongsi maklumat dengan negara lain khususnya yang telah mempunyai reaktor nuklear.

"Berkongsi maklumat dengan negara lain adalah kaedah terbaik bagi membangunkan teknologi ini.

"AS juga bersedia untuk membantu dan melakukannya," katanya ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perbincangan mengenai penggunaan tenaga nuklear di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, semalam.

Menurut beliau, rakyat negara ini perlu melihat kebaikan penggunaan tenaga tersebut berbanding keburukannya.

"Jika ingin terus maju serta bersaing dengan negara lain, kita perlu melihat kebaikan tenaga tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Nuklear Malaysia, Dr. Abdul Aziz Mohamed ketika mengulas perkara itu berkata, kefahaman masyarakat mengenai sisa buangan bahan radioaktif perlu ditingkatkan kerana teknologi nuklear merupakan pilihan sumber terbaik untuk diguna pakai di negara ini pada masa akan datang.

"Pakar-pakar dalam tenaga nuklear tidak pernah duduk diam. Banyak penyelidikan telah dibuat mengenai masalah sisa radioaktif meliputi aspek komersial, pengurusan dan hubungan antarabangsa.

"Nampaknya ia menuju ke arah positif termasuk penubuhan badan antarabangsa untuk mengambil semula dan menyelia sisa tersebut," katanya.

Pada 2010, Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN) memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memulakan langkah membina loji janakuasa nuklear pertama di Asia Tenggara.

Namun baru-baru ini, kementerian tersebut mengumumkan bahawa kerajaan belum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan pembangunan loji nuklear itu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri akan membuat pengumuman rasmi selepas meneliti laporan dan analisis daripada beberapa agensi berkaitan nuklear.

Menurut Abdul Aziz, mahasiswa merupakan golongan sasaran yang paling sesuai untuk diberi kefahaman tersebut memandangkan mereka bakal menjadi pemimpin atau terlibat dengan industri itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment