My Add

Friday 3 February 2012

Kelab Taat Suami berdepan tindakan Jakim

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, JUMAAT, 03 Februari, 2012: Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelab Taat Suami (KTS) jika mereka didapati menyebarkan ajaran bertentangan dengan Islam atau berusaha menghidupkan kembali kumpulan Al-Arqam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berdasarkan trend dan maklumat semasa yang diterima setakat ini menunjukkan KTS itu mahu kembali kepada Al-Arqam.

''Tugas majlis agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa memantau dan sebab itulah kalau ada unsur-unsur itu, kita dedah cepat-cepat kepada orang ramai.

''Secara tidak langsung, mereka bukan hanya dapat tahu tetapi juga menyedari jika diteruskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Buku Panduan Proses Permohonan Skim-skim Bantuan Zakat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail.

Minggu lalu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menyerbu forum seks anjuran KTS di Rumah Tamu Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) Zon di Ipoh, Perak.

JAIP dalam siasatan awalnya mendapati wujud usaha untuk menghidupkan kembali pergerakan kumpulan Al-Arqam selepas meneliti dokumen dan bahan yang dirampas pada forum itu.

Ditubuhkan oleh GISB yang dikaitkan dengan pergerakan Al-Arqam sebelum ini, kempen mengenai program berkenaan giat dijalankan di seluruh negara sempena sambutan Maulidur Rasul, 5 Februari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment