My Add

Tuesday 14 February 2012

Tingkatkan hasil padi negara

Oleh MUHAMMAD AZRUL RADI

KUALA LUMPUR, ISNIN, 13 Februari, 2012: Industri padi dan beras di Malaysia perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan kerana hanya menghasilkan 70 peratus bekalan negara manakala selebihnya terpaksa diimport.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Dr. Baharom Jani berkata, senario itu jika dibiarkan berterusan tanpa sebarang pelan tindakan dibimbangi akan menjejaskan bekalan makanan negara.

"Antara kesan yang merisaukan adalah sekiranya bekalan makanan kita terputus, maka pasti kita akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan dari negara jiran kerana mereka juga menjaga keperluan makanan sendiri.

"Beras adalah makanan ruji rakyat negara kita, jika bekalan beras terputus pasti harganya akan meningkat sekali gus merisaukan serta membebankan para pengguna yang terpaksa mengeluarkan belanja yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar Bekalan Makanan dan Pelan Tindakan Strategik' sempena Seminar Padi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Arpan Shah Satu.

Menurut Baharom, terdapat beberapa faktor yang mengawal pengeluaran padi dan beras antaranya benih, sikap kerja petani dan mesin yang digunakan untuk memproses padi.

"Pihak kementerian bersama Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan institusi penyelidikan lain sedang melakukan penyelidikan benih baru yang tahan daripada sebarang penyakit dan mampu melindungi padi dalam menghadapi perubahan iklim mendadak.

"Selain itu, petani juga disarankan untuk mengikut amalan pertanian baik (GAP) serta tidak mengamalkan konsep 3T (tanam, tinggal dan tuai) bagi menjamin serta meningkatkan kualiti tanaman padi mereka," ujarnya.

Jelasnya, mesin untuk memproses padi juga harus diselenggara dengan baik dan dibaiki semula sekiranya rosak supaya jumlah beras yang dihasilkan dapat ditingkatkan.

Baharom seterusnya berharap supaya pelbagai kertas kerja yang dibentangkan di seminar itu dapat memberi cadangan serta langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan industri beras negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment