My Add

Wednesday 15 February 2012

Ujian air kencing Saiful Apek, rakan positif: Polis

PETALING JAYA, SELASA, 14 Februari, 2012: Seorang anggota polis hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa ujian saringan awal air kencing pelakon komedi, Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya yang lain didapati positif dadah. 

Sarjan M Sanggar, 48, berkata beliau menjalankan ujian air kencing terhadap Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, Noremy Mohamad, 28, selepas selesai melakukan satu operasi serbuan di sebuah rumah di Bandar Sunway dekat sini.

"Hasil keputusan ujian air kencing itu didapati kesemua tertuduh positif dadah," kata saksi kedua pendakwaan ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad ketika pemeriksaan utama.

Sanggar yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, berkata beliau kemudiannya menyerahkan sampel air kencing kesemua tertuduh kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Rozlia Razali untuk tindakan seterusnya. 

Pada 1 November tahun lalu, Saiful Apek dan tiga rakannya termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka. 

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada jam 11 malam, 12 Jun 2010. 

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000.

Terdahulu, Pegawai Risikan, Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertindak sebagai ketua dalam operasi serbuan pada jam 10 malam bertarikh 12 Jun 2010 itu turut memaklumkan bahawa hasil serbuan di dalam rumah itu pasukannya menemui ganja. 

Mohd Shaifuddin berkata, beliau mengarahkan Sanggar dan Rozlia untuk menjalankan ujian air kencing terhadap kesemua tertuduh. 

"Saya menerima sampel ujian air kencing mereka daripada Rozlia pada jam lebih kurang 11.15 malam dan pada jam 12.05 minit pagi hari berikutnya (13 Jun 2010) saya menyerahkan botol spesimen air kencing mereka kepada pegawai penyiasat kes narkotik iaitu Insp Syed Mohd Rohayat Syed Ramlee," katanya. 

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim. 
Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 27 Mac depan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment