My Add

Monday 6 February 2012

Umat Islam jangan tertipu imej Islam Pas

KUALA LUMPUR, AHAD, 6 Februari, 2012: Umat Islam tidak seharusnya terpedaya dengan imej ulama yang dibawa oleh pemimpin Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebenarnya turut mempunyai keinginan dan nafsu terhadap kuasa politik.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Datuk Hasan Malek berkata, imej ustaz atau Tok Guru yang dibawa oleh Nik Abdul Aziz juga hanya adegan politik untuk menagih kepercayaan dan sokongan orang ramai.

''Apatah lagi sekarang sudah jelas Nik Abdul Aziz juga tetap menyanjung Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun Ketua Pembangkang itu menyatakan sokongan terhadap Israel.

''Pada masa sama, Nik Abdul Aziz juga merestui pemecatan Datuk Hasan Ali daripada Pas dan seolah-olah menentang Hasan dalam perjuangan beliau menegakkan akidah Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan untuk kekal bertanding pada pilihan raya umum akan datang meskipun pada usia yang mencecah 81 tahun.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Chempaka mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Omar dengan majoriti 4,249 undi.

Dalam perkembangan sama, Hasan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Nik Abdul Aziz perlu mengekalkan kedudukan sebagai Menteri Besar Kelantan berikutan isu kedudukan menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Malah kerana itu juga kata Hasan, Nik Abdul Aziz seolah-olah berdolak-dalik apabila digesa mengisytiharkan hartanya dan harta menantunya itu apabila mendakwa sifat takwa adalah lebih penting daripada mengisytiharkan harta.

No comments:

Post a Comment