My Add

Wednesday 15 February 2012

Universiti Butik ICT akan ditubuh

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

SHAH ALAM, selasa, 14 Februari, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi sedang dalam perancangan menubuhkan Universiti Butik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perancangan kementerian itu adalah susulan daripada cadangan yang dikemukakan oleh pihak industri dan sektor swasta baru-baru ini.

Beliau berkata, penubuhan universiti itu sejajar dengan misi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang celik ICT pada masa akan datang.

"Dengan penubuhan universiti ini, ia mampu melahirkan lebih ramai modal insan yang berjaya dalam bidang ICT. Universiti itu akan memberi penekanan secara praktikal dan bukan hanya teori semata-mata sekali gus dapat melahirkan graduan yang mempunyai daya pasaran untuk mendapatkan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Autodesk Malaysia Design Competition (AMDC) 2011 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

AMDC merupakan pertandingan reka cipta yang mendapat sokongan daripada Autodesk Malaysia dan Hewlett Packard (M) dan dianjurkan bersama oleh kementerian dan Prestariang System Sdn. Bhd. serta diuruskan oleh Institut Sultan Iskandar dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, bermula tahun hadapan, AMDC akan membuka penyertaannya kepada semua penuntut universiti termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk dalam bidang sains kemanusiaan.

Tambahnya, buat masa ini AMDC yang kali pertama dianjurkan pada 2009 hanya terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menuntut dalam bidang sains.

Mohamed Khaled berkata, hasil rekaan peserta yang menyertai AMDC sebelum ini pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa termasuk tempat pertama di kejohanan peringkat Asia Pasifik.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan wang tunai berjumlah RM4,500 dan tiga unit komputer riba kepada pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dipilih sebagai pemenang keseluruhan AMDC 2011 dengan rekaan kereta kerusi roda.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment