My Add

Wednesday 15 February 2012

Perkukuh hubungan awam - Tun Hisan

SUBANG JAYA, SELASA, 14 Februari, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab untuk terus berinteraksi serta memperkukuhkan hubungan awam dalam usaha mencegah dan membendung jenayah di negara ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, pihak polis bukan sahaja perlu berhubung dengan komuniti, malah menjadikan komuniti itu sebagai sumber utama dalam usaha membanteras jenayah.

"Sebagaimana polis mahukan komuniti menjadi 'mata dan telinga', pasukan juga perlu memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

"Sehubungan itu, saya menyeru warga PDRM supaya berhubung, mendengar apa yang komuniti mahukan dan memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Tanggungjawab Polis Terhadap Masyarakat pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Prinsip Kepolisan di sini hari ini.

Tun Hisan memberitahu, kejayaan strategi pencegahan jenayah seperti kehadiran polis atau lebih dikenali sebagai Ops Payung bergantung kepada kerjasama rapat antara polis dan masyarakat.

Dalam pada itu, Timbalan Komisioner Polis Singapura, T. Raja Kumar berkata, kerjasama rapat antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dengan masyarakat yang direalisasikan melalui penubuhan Pusat Kejiranan Polis banyak memberi sumbangan dalam menjadikan negara itu antara negara paling rendah kes jenayah dilaporkan.

"Tanpa keyakinan dan kepercayaan masyarakat, Singapura tidak mampu termasuk dalam senarai negara kedua paling rendah kes jenayah berbanding 142 negara di dunia ini," katanya.

Sementara itu, menurut bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Mohd. Hamdan Adnan berkata, reputasi PDRM bergantung kepada tindakan bukan semata-mata perkataan.

"Polis perlu jadikan PDRM itu sebagai Polis Dahulukan Rakyat Malaysia. Masyarakat merupakan pelanggan utama kerajaan, sehubungan itu bagi menyelami kehendak masyarakat, polis perlu dengar luahan mereka dan saya yakin banyak masalah sosial serta jenayah boleh ditangani.

"Polis perlu memahirkan diri dalam kemahiran sosial, komunikasi yang efektif agar mesej boleh disampaikan dengan mudah," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment