My Add

Tuesday 21 February 2012

VDR kawal penuntut asing – Imigresen

PUTRAJAYA, ISNIN, 20 Februari, 2012: Jabatan Imigresen akan menguatkuasakan penggunaan Visa Dengan Rujukan (VDR) terhadap penuntut asing yang ingin melanjutkan pelajaran ke negara ini bagi membendung masalah sosial dan jenayah di kalangan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, dengan adanya VDR, setiap penuntut asing asing dilarang memasuki negara ini dengan hanya menggunakan visa ketibaan atau pas sosial.

“Dengan cara ini kolej-kolej terbabit perlu berurusan terlebih dahulu dengan Jabatan Imigresen kemudian baru boleh bawa masuk penuntut asing ke Malaysia.

“Ini merupakan cara untuk mengekang penipuan dan kes yang mana individu lain menyamar masuk menggunakan visa penuntut lain untuk melakukan kerja lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam untuk menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini.

Berikutan itu KPT hanya mengeluarkan visa pelajar selepas mereka menerima tawaran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Visa yang dikeluarkan Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara kepada seseorang yang bukan warga negara itu bertujuan membolehkan mana-mana individu masuk ke Malaysia selepas visa diluluskan Ibu Pejabat Imigresen.

Sementara itu, Alias berkata, pihaknya akan bertemu dengan pegawai KPT hari ini untuk mendapatkan pengesahan mengenai keputusan yang diumumkan semalam.

“Pihak kami tiada halangan dengan pelaksanaan ini dan menyokong penuh usaha tersebut.

“Oleh itu, kami akan membuat pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan hitam putih kerana pada asalnya keputusan itu (penggunaan visa ketibaan dan pas sosial) diminta sendiri oleh KPT pada 2007 bagi menjadikan negara ini sebagai hub pendidikan,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment