My Add

Tuesday 21 February 2012

Penambahbaikan dalam sistem kerajaan

KUBANG PASU, 20 Februari, 2012: Keputusan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada penuntut asing ke negara ini merupakan satu langkah penambahbaikan dalam sistem kerajaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pendaftaran dan Imigresen) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim, walaupun kerajaan berusaha menarik kehadiran ramai pelajar asing, namun langkah berkenaan bertujuan memastikan mereka benar-benar datang untuk belajar.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat menerusi kerjasama kementerian terlibat.

“Sebelum memasuki negara ini, pelajar asing perlu memastikan mereka sudah ada tempat pengajian dan selepas itu Jabatan Imigresen akan mengeluarkan pas pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Jabatan Penjara (Zon Utara 2) di Institut Aminuddin Baki, Jitra di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar.

Pada majlis itu, seramai 182 kakitangan penjara di zon utara menerima anugerah berupa Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai RM1,000.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara ini dihentikan bagi membendung penyalahgunaan pas itu.

Mohamed Khaled berkata, visa pelajar hanya dikeluarkan kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Dalam perkembangan lain, Alwi berkata, semua majikan digesa segera mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja pendatang asing masing-masing sebelum tarikh tutup pada 10 April ini.

Tegas beliau, proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) telah dimuktamadkan pada tarikh berkenaan dan sebarang permohonan untuk melanjutkan lagi tarikh tersebut tidak akan dilayan.

“Ini merupakan peluang kepada majikan untuk memutihkan pekerja asing mereka mengikut undang-undang. Selepas 10 April ini, kalau kita buat semakan dan penguatkuasaan besar-besaran diadakan, akan timbul masalah bagi mereka yang belum berbuat demikian,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment