My Add

Tuesday 7 February 2012

Wanita BN diminta adakan program Outreach

SHAHRIZAT Abdul Jalil beramah mesra dengan masyarakat Siam pada Majlis Konvensye NMemperkukuhkan Ekonomi Masyarakat Siam Negeri Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
RANTAU PANJANG, 07 Februari, 2012: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) di semua peringkat diminta mengadakan program Outreach melibatkan komuniti di akar umbi bagi mendekati golongan tersebut.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kekuatan parti tersebut adalah di peringkat akar umbi dan sewajarnya mereka didampingi serta mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Beliau berkata, semua pemimpin wanita parti itu perlu turun padang untuk mendekati golongan terbabit bagi memberikan bantuan dan menerangkan agenda perjuangan BN.

"Saya telah mengarahkan Ketua Wanita BN negeri untuk mempertingkatkan dan melebarkan sayap di peringkat akar umbi bersama dengan komuniti berbeza.

"Sebagai contoh, program hari ini adalah di antara program yang mana saya minta Ketua Wanita BN negeri adakan kerana kekuatan kita adalah di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jalinan Rakyat Bersama Masyarakat Siam Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Wanita Siam Kelantan, KC Ngiam dan barisan Exco Wanita BN Pusat.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang masyarakat Siam.

Sementara itu, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga berkata, BN berpeluang cerah untuk menawan semula Kelantan selepas 21 tahun di bawah pemerintahan Pas.

"Daripada maklum balas yang saya dapat daripada Wanita BN, kita mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada pilihan raya umum kali ini.

"Jentera Wanita di Kelantan memang aktif untuk memenangi pilihan raya, dalam mana-mana pilihan raya di dunia ini, jentera amat mustahak, di antara komponen yang amat kritikal dan sebagai ketua saya perlu sentiasa siap siaga," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment