My Add

Tuesday 7 February 2012

Pas bantu kikis imej cauvinis DAP

IPOH, SELASA, 07 Febriari, 201: Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri ini.

Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengakui peluang kemenangan pembangkang di Perak masih '50-50' berkata, parti itu harus terus bekerja keras bagi mengekalkan 18 kerusi sedia ada yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum lalu.

“Pada pilihan raya 2008, kita (pembangkang) memenangi lapan kerusi dengan undian majoriti kurang daripada 100 undi sementara UMNO pula mempunyai 10 kerusi dengan undian kurang 1,000 undi. Kita boleh mendapat kemenangan dua pertiga sekiranya 10 kerusi itu jatuh ke tangan kita.

“Namun, kita tidak harus selesa kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke sini setiap minggu. Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pula tiap-tiap hari dan sekarang, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel juga akan turun dengan lebih kerap apabila dilantik sebagai Pengerusi MIC negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ketiga 1Black Perak bagi memperingati kehilangan kuasa tampuk pemerintahan negeri di bawah sepohon pokok.

Turut hadir, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussian serta Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr. Lee Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng.

Pada majlis tersebut, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang hadir, berpakaian serba hitam turut bertafakur serta melepaskan belon hitam yang dianggap sebagai simbol ‘pembebasan’ Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Koo Ham mengakui, penduduk di luar bandar di negeri ini masih merupakan pengundi tegar Barisan Nasional.

Begitupun, katanya, DAP akan membantu rakan pembangkangnya dengan memastikan pengundi Cina di luar bandar tidak takut dengan imej Pas yang dilihat sebagai ekstrem.

“Penduduk Cina di kawasan Gerik dahulu hanya memberi sokongan dalam 20 ke 30 peratus, kali ini ia melonjak sekurang-kurangnya kepada 60 ke 70 peratus,” dakwanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika diminta mengulas mengenai sambutan ulang tahun 1Black Perak itu berkata, pembangkang harus menghentikan ‘drama’ tipikal mereka.

“Mereka boleh ‘huuhuu’ dan ‘haahaa’, namun ia mula kelihatan sangat bodoh pada pandangan rakyat,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment