My Add

Monday 27 February 2012

Warga emas 'hidup semula' selepas 'mati' empat tahun

PAPAR. AHAD, 26 Februari, 2012: Seorang wanita warga emas, Nik Ariffin, 81, dari Kampung Pengalat Kecil di sini kini 'hidup semula' setelah hampir empat tahun 'meninggal dunia.'

Nasib malang Nik adalah disebabkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membuat laporan palsu menyatakan dia meninggal dunia.

Akibat laporan palsu itu, Nik tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum 2008 kerana namanya dikeluarkan daripada senarai daftar pemilih.

Malah, dia yang sememangnya layak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga dinafikan haknya kerana status meninggal dunia itu.

Bagaimanapun, nasib Nik terbela apabila Pemuda UMNO Bahagian Papar melalui program teras mereka, Ziarah Ehsan berjaya mengesan dan seterusnya mengatasi dilema warga emas itu yang tinggal berseorangan di rumahnya.

Ketuanya, Armizan Mohd. Ali bersama rombongan Pemuda UMNO dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengunjungi rumah warga emas itu hari ini, merakamkan penghargaan kepada JPN kerana segera bertindak mengatasi kes yang dihadapinya.

"Komitmen tinggi JPN menangani kes tersebut dalam tempoh sehari sahaja adalah sejajar dengan program transformasi kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan agensi kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Hari ini kami bersama dengan pegawai JPN menyerahkan MyKad baharu dan seterusnya memaklumkan bahawa rekod pendaftaran Nik diaktifkan semula. Bermakna warga emas itu kembali 'hidup'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Armizan, pihaknya akan membuat rayuan kepada agensi berkaitan bagi membolehkan warga emas itu menikmati BR1M dan seterusnya namanya dapat dimasukkan semula dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya pada kadar segera.

"Kita berharap kerajaan dapat mengambil pendekatan sewajarnya bagi memastikan kes seperti ini tidak kembali berulang. Pemuda UMNO Papar juga mengalu-alukan pengenalan Agency Link Up System (ALIS) yang diperkenalkan kerajaan dan berharap ia ditambah baik dengan mengambil kira kes Nik ini," katanya.

Sementara itu, Nik amat bersyukur kerana nasibnya dibela oleh kerajaan khususnya Pemuda UMNO Papar. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment