My Add

Monday 27 February 2012

Masyarakat Siam ucap terima kasih kepada PM

PENDANG, AHAD, 26 Februari, 2012: Masyarakat Siam Malaysia melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana membantu memperjelaskan takrifan status bumiputera yang dinikmati oleh kaum minoriti itu.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, rata-rata masyarakat Siam menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam yang menjelaskan kaum itu diiktiraf sebagai bumiputera dan layak menerima semua hak yang dinikmati kaum Melayu dan bumiputera lain.

"Kita yakin dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam akan menamatkan isu ketirisan yang dibelenggu oleh masyarakat Siam selama ini.

"Dengan jaminan tersebut, diharap masyarakat Siam selepas ini tidak lagi dinafikan hak yang sepatutnya diterima oleh kaum bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penjelasan Perdana Menteri berhubung status bumiputera di kalangan masyarakat Siam pada majlis Karnival Kasih di Wat Nanai, Kampung Tok Set, di sini semalam.

Menurut Najib, kerajaan juga bersetuju memberikan komitmen yang penuh agar kaum minoriti itu dapat menikmati hak bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Masyarakat Siam mahu kedudukan mereka itu diperjelaskan supaya apa saja hak atau apa saja kaum bumiputera berhak menerima, maka orang Siam juga ingin memperoleh hak yang sama.

"Ini pada saya bukanlah suatu yang tidak munasabah kerana kita sudah iktiraf masyarakat Siam sebagai bumiputera dan mereka memang layak menerimanya," katanya.

Najib berkata, pengiktirafan status masyarakat Siam sebagai bumiputera sebenarnya telah dibuat oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sejak negara mula-mula mencapai kemerdekaan.

Lebih 20,000 masyarakat Siam hadir menyambut kedatangan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempena Karnival Kasih semalam.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan pemberian sumbangan khas berjumlah kepada RM432,000 untuk tujuan pembangunan sebanyak 48 buah Wat Siam di seluruh Kedah.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 individu masyarakat Siam yang mencatatkan kejayaan dalam pelbagai lapangan seperti akademik, keusahawanan dan sukan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment