My Add

Saturday 4 February 2012

Yayasan Selangor beri amaran

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Yayasan Selangor (YS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) atau mana-mana pihak yang sengaja memutarbelitkan isu merobohkan Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur.

Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, tindakan GSAYS yang ingin membuat injunksi bagi menghalang merobohkan asrama itu adalah tidak bijak kerana tanah tersebut adalah hak milik yayasan.

"Sebenarnya, cadangan merobohkan asrama itu bagi menambah baik aset dan dana pendidikan yayasan. Dana tersebut akan diberikan semula kepada rakyat Selangor dalam bentuk pembiayaan pendidikan.

"Justeru, mana-mana pihak yang sengaja memutarbelitkan isu merobohkan asrama itu akan diambil tindakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, sema;am.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu merobohkan Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur yang menerima bantahan daripada banyak pihak seperti GSAYS, Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (PAYS), bekas-bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor dan ibu bapa pelajar.

Tambah Ilham, beliau turut menafikan dakwaan merobohkan asrama yayasan itu adalah bagi menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan dengan mengkomersial aset-aset sedia ada.

"Tanah seluas 7.5 ekar yang menempatkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin akan dibangunkan untuk cadangan pembangunan bercampur (komersial, kediaman dan hotel) di lot 544 dan 545.

"Yayasan juga telah membuka tender kepada pemaju-pemaju yang berminat membangunkan tanah tapak asrama berkenaan pada 19 Disember 2011 dan tarikh tutup adalah pada 29 Februari 2012," ujarnya.

Beliau memberitahu, setakat ini hanya 170 orang pelajar yang mendiami asrama tersebut iaitu 56 lelaki dan 114 pelajar perempuan, daripada tingkatan dua, tiga, empat dan lima.

"Semua pelajar yang terlibat dengan persetujuan ibu bapa diberi pilihan untuk berpindah melalui proses penempatan semula.

"Yayasan akan menempatkan pelajar tajaannya di asrama daerah iaitu asrama sekolah terpilih. Pelan penempatan telah dibuat secara terancang dan semua pelajar yang dipindahkan diuruskan sepenuhnya oleh yayasan," ujarnya.

Katanya, pelajar-pelajar itu akan terus mendapat kemudahan seperti biasiswa, kelas bimbingan dan program-program pendidikan Yayasan Selangor. 

No comments:

Post a Comment