My Add

Sunday 26 February 2012

Zaid disingkir, Zamil Presiden baru KITA

KOTA BHARU, SABTU, 25 Februari, 2012: Kemelut dalaman Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) sampai ke kemuncaknya apabila majlis perjumpaan dan mesyuarat tergempar kepimpinan parti itu dari seluruh negara hari ini menolak kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim dan melantik Pengerusi KITA Kedah, Zamil Ibrahim sebagai presiden yang baru.

Zamil berkata, keputusan itu dibuat bagi menyelamatkan KITA daripada dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang sebelum ini memberi tempoh sehingga 9 Mac untuk parti berkenaan mengemukakan laporan berikutan pergolakan yang berlaku.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini bagi melantik kepimpinan parti yang baharu selain memaklum dan menyerahkan laporan kepada ROS yang dijadual minggu depan.

Menurutnya, keputusan menyingkirkan Zaid dibuat setelah ahli dan kepimpinan parti di peringkat negeri hilang kepercayaan kepada beliau yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab hendak membubarkan parti pada 2 Februari lalu.

"Parti KITA bukan ditubuhkan oleh Datuk Zaid, beliau hanya menukar nama daripada Parti AKIM kepada Parti KITA dan beberapa isi kandungan perlembagaan telah ditukar. Parti KITA hasil perjuangan Allahyarham Cikgu Musa," katanya di sini hari ini.

Zamil berkata, terpulang kepada Zaid sama ada hendak menerima keputusan mesyuarat tersebut atau sebaliknya.

"Kami berasakan jika diam maka penipuan demi penipuan, pemalsuan demi pemalsuan minit mesyuarat dan sebagainya akan terus berlaku seperti juga wujud biro politik, biro disiplin dan terbaru batal program hari ini. Ini kerana takut dengan negeri atau ahli yang nak tolak dia," katanya lagi.

Menurut Zamil, sikap Zaid yang membuat kenyataan berubah-berubah mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebelum ini turut memeningkan ahli dan kepimpinan lain.

"Kami telah berbincang secara lisan dengan beliau, jika dia berasakan parti ini sesuai ke Barisan Nasional, berbincang secara parti. Kalau dia rasakan parti ini sesuai untuk ke pakatan pembangkang, berbincanglah secara parti, bukan secara individu," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau dalam nada sinis meminta Pas atau PKR membuat kenyataan rasmi untuk mempelawa Zaid menyertai parti masing-masing setelah Zaid ditolak oleh ahli-ahli dan kepimpinan KITA di seluruh negara.

"Ambillah, kami dengan rela hati nak serah, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak ambil pun (Zaid), ambillah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment