Guan Eng sedar rakyat Pulau Pinang tolak DAP
KUALA LUMPUR, ISNIN 01 April, 2013: Keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk 'berentap' dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu, Teng Chang Yeow di kerusi yang ditentukan BN menunjukkan beliau sedar tentang gelombang penolakan rakyat negeri itu terhadap DAP.
Bekas Ketua DAP Cawangan Teluk Manggis, Mafhul Wahid berkata, majoriti rakyat di Pulau Pinang mahu melihat negeri tersebut ditadbir semula oleh BN.
Menurut beliau, perkembangan itu memaksa Guan Eng memilih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota yang dirasakannya selamat bagi menjamin kedudukannya sebagai wakil rakyat.
"Tindak-tanduk Guan Eng tidak menghairankan kerana beliau sememangnya tidak suka cabaran dan lebih gemar memilih jalan selamat.
"Sekiranya Guan Eng yakin rakyat menyokongnya, sudah tentu beliau bersedia bertanding di mana-mana sahaja kerusi DUN yang bukan kubu kuat DAP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mafhul mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya semalam bahawa tindakan Guan Eng memilih DUN Padang Kota membayangkan Setiausaha Agung DAP itu tidak berani untuk 'berentap' dengan Chang Yeow.
Kelmarin, Chang Yeow menyatakan kesudian menyahut cabaran Guan Eng yang juga ADUN Air Putih untuk 'berentap' dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan syarat BN berhak menentukan kerusi yang hendak direbut.
Berhubung sikap pemimpin DAP yang sering bertukar kerusi DUN dan Parlimen untuk ditandingi, Mafhul memberitahu, perbuatan tersebut seperti tidak menghargai kepercayaan yang diberikan para pengundi.
"Mungkin mereka terlalu yakin pengundi akan memilih DAP tanpa mengira siapa calon parti yang diletakkan," ujarnya.
Namun kata beliau, DAP hanya berani bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina kerana mereka sedar orang Melayu menolak parti itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment