Kelemahan sistem buka peluang rasuah
KOTA KINABALU, ISNIN, 01 April, 2013: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati masih wujud kelemahan dalam sistem pengurusan dan prosedur perkhidmatan awam yang boleh membuka ruang kepada gejala rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pencegahan), Datuk Sutinah Sutan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi yang dikenal pasti bagi memulihkan sistem berkenaan dari semasa ke semasa.
"Contohnya ada sistem tidak menggunakan nombor dalam membuat permohonan, jadi dia cuba memberi rasuah kepada pegawai-pegawai dalaman supaya dapat nombor satu dalam permohonan.
"Jadi kita akan memberi khidmat nasihat kepada pegawai berkenaan supaya memulihkan sistem itu dari segi mewujudkan satu kaedah baru supaya dapat menutup peluang untuk rasuah," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Tinggi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.
Menurut Sutinah, SPRM akan terus memainkan peranan penting dalam memberi khidmat nasihat bagi membaiki mana-mana sistem yang lemah.
"Malah sekiranya siasatan mendapati wujudnya rasuah kerana sistem yang lemah kita juga akan membuat kajian lanjut di mana kelemahan itu wujud, apa puncanya, seterusnya membaiki sistem yang ada," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kini agensi yang berisiko tinggi terdedah dalam aktiviti rasuah ialah agensi penguatkuasaan dan berkaitan perolehan.
Katanya, pihaknya telah meminta kerjasama pegawai-pegawai terbabit supaya memberi kerjasama kepada SPRM termasuk melaporkan sekiranya ditawarkan rasuah oleh mana-mana pihak. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment