RTM guna teknologi terkini
KUALA LUMPUR, ISNIN, 01 April, 2013: Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan lebih menekankan penggunaan teknologi terkini dan aplikasi media sosial sebagai platform bagi memastikan stesen penyiaran itu terus memberi perkhidmatan terbaik kepada khalayak.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata, RTM yang menjangkau usia 67 tahun hari ini perlu selari dengan penggunaan media-media baharu dan tidak hanya menekankan kepada penggunaan media konvensional sahaja.
"Itu adalah penekanan kita dalam perkembangan sekarang ini iaitu menggunakan teknologi dan media sosial. Mungkin kita akan melancarkan satu lagi kejutan (produk baharu) yang akan kita umumkan dalam jangka masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan RTM dan Sambutan ulang tahun RTM ke-67 di Angkasapuri di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 41 petugas RTM yang bertugas membuat liputan isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dianugerahkan sijil penghargaan atas perkhidmatan mereka menyalurkan maklumat terkini mengenai isu tersebut.
"Mereka telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai wartawan dengan menyampaikan berita terkini berkenaan apa yang terjadi di sana, sudah pasti mereka perlu dihargai," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment