Berlian Tokong Kuan Yin berusia 200 tahun dijumpai semula
GEORGETOWN, SELASA, 30 Julai, 2013: Sebutir berlian berusia 200 tahun di Tokong Kuan Yin, Jalan Masjid Kapitan Keling di sini yang dilapor hilang petang semalam, dijumpai semula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Ismail Idris, berkata berlian itu dijumpai pengurusan tokong di dalam sisa pecahan almari kaca ketika kerja pembersihan dilakukan pagi tadi.
"Berlian itu sudah diletakkan kembali di dahi patung dewi berkenaan dan polis tidak menyiasat secara terperinci mengenai kehilangannya kerana semasa pemeriksaan dibuat berlian itu tidak dijumpai di badan suspek," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, suspek yang cedera pada bahagian kepala akibat dipukul penjaga tokong kerana cuba mencuri berlian itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian 1 petang semalam, suspek berusia 35 tahun itu memecahkan almari kaca yang menempatkan patung Dewi Kuan Yin dan cuba melarikan berlian yang terletak di dahi patung berkenaan.
Bagaimanapun, perbuatannya itu disedari beberapa orang awam dan suspek dipukul sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment